Blogger pengkhianat negara



Kebetulan melihat tajuk di bawah dalam ONLINE BERITA HARIAN, sekejap tadi, rasa – rasanya tajuk di atas lebih sesuai, atau tajuk di bawah yang patut disiarkan ?

Pembaca, seluruh rakyat Malaysia boleh membuat penghakiman yang lebih adil. Sudah terlalu lama kerajaan menjadi hakim dalam seluruh kehidupan rakyat Malaysia, wal hal, kerajaan hanya diberikan amanah untuk menjaga kebajikan rakyat,

PERINGATAN: Abdullah dan Najib pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, semalam.

PUTRAJAYA: Tindakan menyebarkan fitnah dan pembohongan melalui internet dan SMS untuk mewujudkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan adalah perbuatan khianat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri menegaskan, perbuatan itu jelas melanggar prinsip Rukunegara seperti Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

"Cerita penyebaran fitnah dan pembohongan dari blog dan YouTube, semua ini tidak lahirkan keselesaan dan keyakinan pada rakyat. Cakap-cakap mengenai kebenaran undang-undang tidak dihiraukan lagi... kesopanan dalam kehidupan tidak diambil berat lagi, malah kedaulatan raja-raja juga dijadikan isu.



"Ia juga tidak mencerminkan keinginan bangsa yang mahu meningkat maju dan menjadi terbilang pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Abdullah berkata, walaupun bukan semua rakyat percaya dengan persepsi negatif yang cuba ditimbulkan itu, semakin ramai yang seolah-olah terperangkap dalam situasi berkenaan.

"Apa tindakan yang tunjukkan yang benar, tidak dihargai, (sebaliknya) yang dihargai ialah persepsi termasuk pembohongan yang berlaku. Persepsi ketepikan kebenaran. Apa yang benar tidak dikisahkan lagi. Yang penting persepsi," katanya.

Perdana Menteri berkata, persepsi itu turut mempengaruhi sesetengah pihak dalam membuat keputusan, termasuk yang berkaitan pelaburan dan perniagaan.

"Tetapi malangnya cerita sebegini menjadi perkara yang sangat diminati, menjadi buah mulut dan ada yang memanjang-manjangkan pula cerita ini," katanya.

Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak melayani dan mudah terpengaruh dengan pelbagai fitnah dan pembohongan yang disebarkan menerusi laman blog dan YouTube.

Abdullah berkata, negara baru selesai melalui proses demokrasi dan kerajaan sudah diberi mandat untuk memimpin negara. Justeru, kerajaan berharap dapat melaksanakan apa yang dihasratkan rakyat dan akan mengambil langkah mengurangkan beban mereka walaupun timbul keresahan berikutan kenaikan harga minyak.

"Rakyat mesti yakin terhadap usaha kita," katanya sambil meminta pihak penguat kuasa undang-undang terus bertegas dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara.

"Hentikanlah apa yang tidak baik... jayakan keamanan adalah keutamaan kita. Rakyat hendaklah diamankan daripada takut (berlaku) kurang makanan. Rakyat hendaklah diamankan daripada sebarang ketakutan terhadap keselamatan diri dan keluarga," katanya.

sumber http://www.bharian.com.my

For more downloads and gosip CLICK THIS BANNER
0 Responses